Kereta, 9 motosikal musnah terbakar di flat

Keadaan kereta Toyota Vios yang turut terbakar & sembilan motosikal musnah dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran di sebuah flat di Jalan Kurau, Jelutong pada awal pagi Khamis.
Keadaan kereta Toyota Vios yang turut terbakar & sembilan motosikal musnah dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran di sebuah flat di Jalan Kurau, Jelutong pada awal pagi Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - 10 kenderaan termasuk sembilan buah motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah flat di Jalan Kurau, Jelutong di sini kira-kira jam 3.23 pagi Khamis.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, PBK II Fauzian Izzuan Abdullah berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi.

"Seramai tujuh anggota bomba daripada BBP Jalan Perak telah ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran berlaku di bawah flat berkenaan, namun api telah dipadamkan oleh orang awam.

"Bagaimanapun, kita masih memeriksa di lokasi bagi memastikan tiada bara api atau punca api yang boleh mengakibatkan kebakaran berlaku semula," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, siasatan mendapati kebakaran melibatkan sembilan buah motosikal dan sebuah kereta jenis Toyota Vios.

"Kesemua motosikal tersebut musnah manakala kereta hanya mengalami kebakaran di bahagian hadapan dengan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran 5 peratus.

"Tiada mangsa terlibat selain kebakaran tidak melibatkan rumah penduduk. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.