Dua beradik maut bergaduh dipercayai kerana harta pusaka

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Pertengkaran dua beradik lelaki dipercayai disebabkan harta pusaka berakhir tragedi apabila kedua-duanya ditemui mati dalam sebuah rumah di Jalan Mohamad Naseh, Housing Trust dekat Pasir Puteh di sini pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, dua beradik berselisih faham menyebabkan warga emas berusia 70 tahun bertindak menikam adiknya berusia 67 tahun dengan senjata tajam dipercayai golok.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati, terdapat satu mayat lelaki dalam keadaan berlumuran darah di ruang dapur, manakala seorang lagi di luar kawasan rumah dalam keadaan leher digantung.

Menurutnya, kedua-dua mangsa merupakan adik-beradik dan berdasarkan beberapa keterangan, sebelum kejadian telah berlaku pergaduhan antara mereka hingga membawa kepada insiden berkenaan.

"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan isu harta pusaka. Saksi mengatakan, mereka memang kerap bergaduh, cuma tidak tahu hari ini sampai mencetuskan kejadian ini.

"Siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai telah membunuh adiknya sebelum ditemui tergantung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui sebilah golok di sisi suspek dipercayai senjata digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, suspek bekerja pemandu teksi dan mangsa yang merupakan pesara tinggal bersama di rumah itu bersama isteri dan anak.

"Isteri mangsa berusia 50-an yang cuba meredakan pergaduhan itu turut mengalami luka di tangan serta jari.

"Siasatan akan diteruskan dan kita akan memaklumkan perkembangan sehingga mendapat keputusan bedah siasat," katanya.

Katanya, kes kini diklasifikasikan sebagai 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.