Enam parti mahu sertai BN akan diberi merit

Mohamad (tengah) bergambar bersama pimpinan BN sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Ibu Pejabat BN Johor, pada Khamis.
Mohamad (tengah) bergambar bersama pimpinan BN sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Ibu Pejabat BN Johor, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Enam parti termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang mahu menyertai gabungan bersama Barisan Nasional (BN) akan diteliti sebelum diberikan penilaian atau merit.

Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata penilaian kepada setiap parti itu akan dilakukan sekretariat BN selepas mendapat arahan daripada Dewan Tertinggi BN.

"Dewan Tertinggi BN telah memberikan arahan kepada sekretariat BN untuk berikan merit kepada setiap satu parti sebelum sebarang pertimbangan sama ada diluluskan atau ditolak untuk menyertai gabungan BN.

"Setakat ini belum ada apa-apa keputusan. Kita akan perhalusi satu persatu permohonan parti yang hendak menjadi gabungan BN. Ini kerana keputusan yang hendak dibuat nanti mesti dilakukan secara konsensus membabitkan semua pihak atau parti komponen dalam BN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Ibu Pejabat BN Johor di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi UMNO dan BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Mohamad berkata, pandangan dari parti komponen dan ahli BN turut akan diambil kira dalam membuat pertimbangan berhubung permohonan enam parti untuk memasuki gabungan BN.

"Sebagai parti dalam BN, kita amalkan konsensus iaitu semua parti komponen mesti bersetuju. Pandangan daripada parti komponen dan ahli BN perlukan pertimbangan lebih lanjut.

"Mengapa tidak bersetuju? Mengapa bersetuju? Macam-macam pandangan akan diberikan. Oleh itu jika tidak ada konsensus susah BN," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan sebanyak enam parti sudah memohon masuk BN.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, keputusan hanya akan dibuat pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan kesemua permohonan terbabit sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN.