Lelaki sanggup gigit lengan polis

Seorang anggota polis cedera di bahagian lengan selepas digigit seorang lelaki yang membuat kacau di sebuah stesen minyak di Bukit Gambir, Tangkak pada Rabu. (Gambar kecil: Kesan kecederaan yang dialami anggota polis terbabit)
Seorang anggota polis cedera di bahagian lengan selepas digigit seorang lelaki yang membuat kacau di sebuah stesen minyak di Bukit Gambir, Tangkak pada Rabu. (Gambar kecil: Kesan kecederaan yang dialami anggota polis terbabit)
A
A
A

TANGKAK - Seorang lelaki bertindak menggigit lengan kanan seorang anggota polis sehingga terluka semasa membuat kacau dan cuba melarikan diri di sebuah stesen minyak di Bukit Gambir di pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat seorang lelaki berusia 33 tahun sedang membuat kacau di kawasan terbabit pada jam 1 petang.

"Semasa tangkapan dibuat, suspek telah cuba meloloskan diri dengan menggigit lengan anggota polis. Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metafetamin.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah majistret di sini hari ini untuk mendapatkan perintah reman. Siasatan dan rakaman percakapan akan dijalankan ke atas tangkapan yang telibat dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323, 353 dan 331 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Fadhil mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat bagi mengekang kegiatan jenayah.