Rayuan kes SRC: Peguam baharu Najib tarik diri

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Peguam Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama memohon kepada Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis untuk menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam prosiding rayuan di saat-saat akhir.

Hisyam berkata demikian di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel hakim ketika prosiding rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda terhadap bekas Perdana Menteri itu membabitkan kes penyelewengan dana RM42 juta Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hisyam berkata, jika beliau tidak dapat menangguhkan pendengaran prosiding itu, beliau berharap untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan tersebut dan meninggalkan Najib.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata, mahkamah tiada alasan untuk menyemak keputusan, yang mana mahkamah telah menolak permohonan untuk menangguhkan prosiding itu pada Selasa.

Hisyam yang baru sahaja dilantik oleh Najib selaku perayu pada 21 Julai lalu berkata, beliau tidak bersedia untuk meneruskan rayuan dan menyerahkan kepada mahkamah jika mahu meneruskan rayuan tanpa kehadirannya.

Beliau merayu supaya diberi masa sewajarnya untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

Hisyam: Saya tak pernah buat begini sepanjang 45 tahun berkhidmat sebagai peguam, ini sangat menyedihkan. Saya mohon mahkamah dapat menangguhkan prosiding ini supaya dapat bersedia untuk merayu bagi pihak Najib.

Tengku Maimun: Mahkamah tiada sebarang alasan untuk menyemak keputusan lalu, mahkamah sudah beri keputusan untuk permohonan itu, Selasa lalu.

Hisyam: Ya.

Tengku Maimun: Mahkamah beranggapan Tuan Haji (Hisyam) sebagai peguam perayu sehinggalah Tuan Haji buat permohonan secara rasmi untuk menarik diri mengikut prosedur dengan mengemukakan afidavit sokongan mengapa Tuan Haji perlu mengambil tindakan begini.

Ketua panel hakim itu kemudiannya menyoal Hisyam, sama ada beliau menyedari bahawa, mahkamah tertinggi ini mempunyai bidang kuasa untuk memastikan bahawa operasi mahkamah dan sistem keadilan berjalan dengan sewajarnya.

Hisyam: Ya saya sedar tapi sebab itu saya mohon kepada panel untuk menyemak keputusan dan luluskan permohonan untuk menangguhkan prosiding rayuan selama beberapa bulan.

Tengku Maimun: Selepas Tuan Haji mengemukakan permohonan dengan disertai afidavit sokongan, Tuan Haji masih peguam perayu dan Tuan Haji tidak boleh meninggalkan anak guam tanpa diwakili. Kami yakin Tuan Haji boleh mengendalikan rayuan ini.

Hisyam: Saya tidak tahu apa lagi hendak dicakapkan.

Prosiding ditangguhkan sementara.