Pekerja maut bergaduh di kebun sayur

Lokasi kejadian pergaduhan di sebuah kebun sayur dekat Lebu, Bentong yang menyebabkan seorang pekerja kebun maut pada awal pagi Rabu. - Foto Ihsan PDRM
Lokasi kejadian pergaduhan di sebuah kebun sayur dekat Lebu, Bentong yang menyebabkan seorang pekerja kebun maut pada awal pagi Rabu. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

BENTONG - Seorang pekerja kebun maut selepas disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan di sebuah kebun sayur di Lebu di sini pada Rabu.

Lelaki warga asing berusia 27 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong pada jam 5.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada jam 2.50 pagi.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong ke tempat kejadian dan mendapati mangsa yang juga pekerja kebun mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Bentong untuk rawatan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Zaiham berkata, susulan kejadian itu polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun di kawasan kebun berkenaan dan merampas sebilah pisau berukuran 30 sentimeter dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

Katanya, punca pergaduhan masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 23 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, beliau meminta saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan.