Perbincangan projek LPT3 sudah bermula

Baru Bian - Foto Bernama
Baru Bian - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh masa pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) hanya akan diketahui selepas beberapa perkara diputuskan, termasuk berkaitan model pelaksanaan dan peruntukan kewangan, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata ia merupakan antara projek yang diberi keutamaan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Kementerian Kerja Raya telah mula mengadakan perbincangan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan minggu lepas berkenaan hal tersebut (LPT3).

“Ia berikutan pengumuman pada Mac lalu berhubung lima projek utama yang bakal dilaksana di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) yang ingin tahu mengenai pembinaan projek LPT3 yang mendapat kelulusan kerajaan bulan lalu.

Baru berkata berdasarkan kajian kemungkinan yang dibuat pada 2009, projek LPT3 ini berpotensi dan berdaya maju untuk dilaksanakan bagi tujuan melengkapkan keseluruhan jajaran Lebuhraya Pantai Timur melibatkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.- Bernama

Artikel Berkaitan: