Pemandu lori tangki maut tersepit, kelindan cedera

Tiga jengkaut digunakan bagi menarik keluar kenderaan yang terbabas dan terbalik di Jalan Kubu Gajah, Selama. - Foto ihsan JBPM Perak
Tiga jengkaut digunakan bagi menarik keluar kenderaan yang terbabas dan terbalik di Jalan Kubu Gajah, Selama. - Foto ihsan JBPM Perak
A
A
A

LARUT - Seorang lelaki maut manakala kelindannya cedera selepas lori tangki dinaiki mereka terbalik di Jalan Kubu Gajah berhampiran Sungai Dendang di Selama, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 10.15 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Noor Hadi Mohd, 38, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Mohd Nor Khairi Johari berkata, sepasukan 16 anggota termasuk bantuan BBP Serdang bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki terbabas di bahu jalan menyebabkan dua mangsa tersepit. Operasi diteruskan mengeluarkan mangsa yang cedera.

"Operasi turut dibantu tiga jengkaut daripada pihak peladang berhampiran bagi menarik keluar kenderaan seberat 30 tan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan keselamatan.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi berlangsung selama 2 jam 30 minit itu ditamatkan pada jam 12.48 tengah hari," katanya.