SUV ADUN Semerak terbabas, langgar pagar tadika

Proton X70 milik ADUN Semerak, Wan Hassan terlibat dalam kemalangan di Raja Dagang, Cherang Ruku, Pasir Puteh pada Rabu.
Proton X70 milik ADUN Semerak, Wan Hassan terlibat dalam kemalangan di Raja Dagang, Cherang Ruku, Pasir Puteh pada Rabu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim terlibat dalam kemalangan di Raja Dagang, Cherang Ruku di sini pada Rabu.

Kemalangan pada jam 12.30 tengah hari itu hanya melibatkan pemandu, Zainuddin Awang, 50, yang dalam perjalanan ke Pejabat ADUN di Semerak selepas mengisi minyak di stesen berhampiran.

Wan Hassan berkata, setiba di lokasi kejadian, SUV tersebut dipercayai telah terbabas dan kemudian telah melanggar pagar Tadika Perpaduan Raja Dagang.

"Alhamdulillah pemandu tidak mengalami kecederaan teruk cuma kepala terhantuk di cermin dan sakit di dada.

"Dia kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis," katanya kepada pemberita ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, susulan kemalangan itu, SUV berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintanden Zaizul Rizal Zakaria mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.