Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 warga Myanmar

Seorang remaja lelaki 17 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas pertuduhan menyeludup 25 warga Myanmar dengan menyumbatnya dalam sebuah MPV, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
Seorang remaja lelaki 17 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas pertuduhan menyeludup 25 warga Myanmar dengan menyumbatnya dalam sebuah MPV, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki 17 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas pertuduhan menyeludup 25 warga Myanmar dengan menyumbatnya dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada remaja itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Kes itu merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) yang akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, Sentul, di sini pada jam 12.05 tengah hari, 2 Ogos lalu.

Oleh demikian, remaja terbabit melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, remaja berkenaan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Zuraidi Zulkifli, manakala remaja itu tidak diwakili peguam.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhamad Zuraidi berkata, tiada pengakuan direkodkan daripada remaja itu kerana pertuduhan berkenaan berada bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) iaitu dibicarakan bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Mahkamah menetapkan 17 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan izin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, tindakan seorang remaja 17 tahun menyumbat 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sebuah kereta MPV umpama 'tin sardin' membawa padah apabila dia ditahan selepas gagal meloloskan diri di Jalan Selinsing di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, MPV mewah jenis Toyota Vellfire itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh unit peronda di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching di sini sekitar jam 12.05 tengah hari.