Sasar tanam 40,000 pokok dalam tempoh lima tahun

Zainal Abidin (depan, kanan) mengiringi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ( depan, tengah) melepaskan benih ikan ke dalam tasik di Taman Tasik Sultan Abu Bakar sempena Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Daerah Pekan di sini pada Selasa.
Zainal Abidin (depan, kanan) mengiringi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ( depan, tengah) melepaskan benih ikan ke dalam tasik di Taman Tasik Sultan Abu Bakar sempena Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Daerah Pekan di sini pada Selasa.
A
A
A

PEKAN - Majlis Daerah Pekan (MDP) menyasarkan menanam 40,000 pokok di daerah itu dalam tempoh lima tahun bagi menjayakan agenda penghijauan negara menerusi 'Kempen Penanaman 100 Juta Pokok' di seluruh negara menjelang tahun 2025.

Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Abidin Md Amin berkata, bagi mencapai sasaran itu, sebanyak 8,000 pokok akan ditanam setiap tahun dengan kerjasama pelbagai pihak.

Menurutnya, sehingga kini, MDP telah menanam sebanyak 3,000 pokok dengan kerjasama syarikat pemaju, agensi kerajaan dan swasta di daerah itu.

"Penduduk daerah Pekan juga disaran untuk turut serta mengambil bahagian dalam kempen penanaman pokok bagi membantu mencapai sasaran yang ditetapkan di daerah ini.

"Usaha bersama ini bagi memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Daerah Pekan yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini pada Selasa.

Pada program itu, sebanyak 500 batang anak pokok teduhan pelbagai spesies telah ditanam di sekitar kawasan taman tasik tersebut selain pelepasan benih ikan disumbang Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Zainal Abidin berkata, Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Daerah Pekan bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan pokok dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup.

Menurutnya, usaha itu juga bagi menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara selain memupuk semangat cintakan alam semula jadi dalam kalangan masyarakat.

"Penanaman tumbuhan hijau bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman, malah berfungsi menstabilkan suhu persekitaran dan mengurangkan kesan pemanasan global.

"Sesuai dengan temanya 'Pokok Kita Kehidupan Kita', usaha memelihara dan menjaga alam sekitar bukan tugas kerajaan semata-mata, sebaliknya ia tugas bersama semua pihak termasuk masyarakat," katanya.