Madius kecewa mesyuarat jawatankuasa tangguh lagi

Wilfred Madius Tangau
Wilfred Madius Tangau
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau melahirkan kekecewaannya terhadap penundaan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Kebebasan dan Hak Berperlembagaan pada Selasa.

Beliau berkata, penangguhan mesyuarat itu diumumkan pada saat akhir oleh Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Azizah Mohd Dun kerana saksi dijemput bagi memberi keterangan iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tidak dapat hadir.

Menurutnya, penundaan itu juga bukan kali pertama berlaku dan ia menyebabkan laporan daripada jawatankuasa gagal untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Sepanjang ingatan saya, sudah lebih tiga kali mesyuarat jawatankuasa ini telah ditunda atas pelbagai sebab. Penundaan ini menyebabkan laporan daripada Jawatankuasa ini belum lagi dibentangkan di Dewan Rakyat sehingga hari ini.

“Agenda mesyuarat pada kali ini sebenarnya adalah meminta kedua-dua menteri memberi penjelasan kenapa pekerja asing yang datang bekerja di Malaysia perlu memberi bayaran kepada ejen sebelum dipertimbangkan masuk ke Malaysia.

“Contohnya, pekerja daripada Bangladesh kena bayar RM25,000 kepada ejen pekerja asing untuk bekerja di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Madius yang juga Presiden Tindakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, menteri yang dipanggil hadir sepatutnya mengambil berat terhadap jemputan tersebut kerana ia telah dikeluarkan awal iaitu sejak 8 Ogos lalu.

Katanya, penangguhan saat akhir itu juga telah membuang masa dan wang dibelanjakan oleh ahli Parlimen yang datang dari luar Kuala Lumpur untuk datang ke Parlimen.

“Selain itu, agenda serta Isu yang mahu dibincangkan melibatkan kepentingan awam, rakyat, ekonomi serta pelaburan negara.

“Saya agak kecewa kerana mesyuarat ditunda 'last minute' hanya kerana kegagalan menteri-menteri yang dijemput tidak hadir tanpa alasan yang kukuh.

“Diharap mesyuarat akan datang dapat diteruskan supaya hasil perbincangan serta syor daripada jawatankuasa ini dapat dibentangkan di Parlimen secepat mungkin,” ujarnya.