PM ucap tahniah kejayaan skuad hoki

Skuad hoki negara meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Bangkok, Thailand pada Isnin.
Skuad hoki negara meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Bangkok, Thailand pada Isnin.
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah buat skuad hoki lelaki negara yang memahat sejarah sebagai juara buat kali pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Bangkok, Thailand pada Isnin.

Beliau berkata, kejayaan menewaskan Iran menerusi penentuan shoot out 3-2 pada aksi final itu pastinya satu pencapaian membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada skuad hoki negara.

"Skuad hoki mencipta sejarah apabila muncul juara buat kali pertama dalam saingan Hoki Dalam Dewan Piala Asia selepas mengalahkan Iran menerusi penentuan 'shoot out' 3-2 pada aksi final di Bangkok, Thailand.

"Kejayaan ini pastinya membanggakan seluruh Keluarga Malaysia yang menanti kepulangan kalian di Malaysia!.

"Terima kasih kerana mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dan semoga lebih banyak kejayaan sukan hoki Malaysia di masa akan datang," katanya menerusi catatan di Facebook awal pagi Selasa.

Iran, pasukan nombor tiga dunia sebelum ini mendominasi Piala Asia apabila merangkul lapan kejuaraan sejak 2008, namun Malaysia berjaya melunas dendam selepas empat kali disekat di final pada 2008, 2009, 2010 dan 2014.

Dendam skuad negara akhirnya dibalas oleh anak-anak buah Amin Rahim apabila Muhamad Izham Azhar, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius tenang menyempurnakan shoot out selepas kedua-dua pasukan terikat pada aksi sebenar 4-4.

Artikel Berkaitan:

Pada aksi itu, Iran terlebih dahulu di depan apabila Mohsen Bohlouli menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Muhammad Ashran Hamsani menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-12.

Skuad negara menambah jaringan empat minit kemudian menerusi Shello Silverius, namun kedudukan kembali terikat apabila Iran menyamakan kedudukan pada minit ke-20 melalui Amirmahdi Mirzakhani.

Enggan mengalah, Malaysia kembali di depan minit ke-26 apabila Mohd Norhafizie Jamil Azomi mencetak nama sebagai penjaring, tetapi Iran menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Mohammad Karimi enam minit kemudian.

Ashran menjaringkan gol kedua peribadi untuk membolehkan Malaysia mendahului 4-3, namun ia tidak bertahan lama apabila Hamid Nooranian menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti sebelum penentuan berakhir dengan shoot-out yang menjadi milik skuad negara.

Pasukan wanita negara pula berjaya menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Kazakhstan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.