Diaz selamatkan maruah Liverpool di Anfield

Diaz muncul penyelamat Liverpool ketika melayan kunjungan Crystal Palace di Anfield.
Diaz muncul penyelamat Liverpool ketika melayan kunjungan Crystal Palace di Anfield.
A
A
A

PENYERANG Liverpool, Luis Diaz muncul penyelamat apabila jaringan pemain sensasi itu memastikan The Reds berkongsi mata ketika melayan kunjungan Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris EPL di Stadium Anfield pada Selasa.

Anak buah Jurgen Klopp yang beraksi buat pertama kali di laman sendiri ternyata menguasai perlawanan dalam misi meraih tiga mata selepas sekadar mencatat keputusan seri 2-2 ketika berdepan Fulham di Craven Cottage sebelum ini.

Bagaimanapun The Eagles kendalian Patrick Vieira yang tewas 0-2 kepada sensasi Arsenal di laman sendiri Selhurst Park sebelum ini terlebih dulu mendahului menerusi jaringan Wilfried Zaha minit ke-32 bagi memimpin perlawanan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Liverpool terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah bintang sensasi dari Uruguay, Darwin Nunez dilayangkan kad merah pada minit ke-57 selepas mengasari Joachim Andersen, sekali gus berdepan penggantungan tiga perlawanan.

Kad merah diterima Nunez, menyaksikan The Reds kembali bersemangat memburu gol penyamaan yang berjaya diterjemahkan Diaz pada minit ke-61 untuk kedudukan 1-1 sekali gus mata kedua Liverpool selepas mengharungi dua perlawanan.

“Sejujurnya, kami sentiasa mahu memenangi perlawanan terutamanya di tempat sendiri...

"Saya fikir kami bermula cukup baik sebelum hilang sedikit penguasaan bahagian tengah.

"Crystal Palace jelas memiliki kualiti, dan sentiasa menghadirkan masalah pada babak pertama, yang mungkin seharusnya Liverpool bertahan lebih baik," kata pemain tengah Liverpool, James Milner.