Kanak-kanak tiga tahun maut, Myvi bertembung Hilux

Seorang kanak-kanak maut manakala enam lagi cedera selepas terlibat kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mawai, Kota Tinggi pada Isnin.
Seorang kanak-kanak maut manakala enam lagi cedera selepas terlibat kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mawai, Kota Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut manakala enam lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Lembaga Getah Malaysia, Jalan Kota Tinggi-Mawai dekat sini pada Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan Mohd Salleh Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pada jam 4.47 petang.

Beliau berkata, susulan itu seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga beranak Orang Asli dalam perjalanan dari Mersing ke Kota Tinggi dengan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki empat orang dari Kota Tinggi ke Mersing.

"Semasa tiba di tempat kejadian dipercayai Perodua Myvi hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Hilux tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kemalangan berlaku di Lembaga Getah Malaysia, Jalan Kota Tinggi-Mawai dekat sini pada Isnin.
Kemalangan berlaku di Lembaga Getah Malaysia, Jalan Kota Tinggi-Mawai dekat sini pada Isnin.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan penumpang Perodua Myvi iaitu kanak-kanak perempuan, Elbina Scavia Mazian, meninggal dunia manakala bapanya, Mazian Majid, 23, dan ibunya, Suzenatsha Aris, 20-an cedera.

Menurutnya, Elbina Scavia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi manakala Mazian dan Suzenatsha tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum dikeluarkan pihak bomba dengan menggunakan peralatan khas.

Sementara pemandu dan penumpang Toyota Hilux katanya, iaitu Muhamad Akid Thaqif Mohd Mohd Talhah, 4, Mohd Talhah Mohd Aziz, 32,

Sharifah Abdul Salam, 56, dan Rosnani Othman, 27, cedera ringan.

Beliau berkata, kanak-kanak yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala semua yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi dengan menaiki ambulans.

Tambah beliau, operasi tamat pada jam 5.20 petang.