Tunggu data untuk tetapkan harga siling baharu ayam, telur

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan membenarkan semula pengeksportan ayam serta penetapan harga siling baharu ayam dan telur hanya akan diputuskan setelah kementerian serta agensi berkaitan mengemukakan laporan terperinci berhubung kedudukan bekalan dan permintaan barangan kepada Pasukan Jihad Tangani Inflasi.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perangkaan (DOSM) masing-masing diberi masa seminggu untuk mengemukakan dapatan mereka kepada jawatankuasa.

Beliau berkata, penetapan harga ayam dan telur dalam pasaran berdasarkan pewartaan sekarang ialah sehingga 31 Ogos manakala penilaian mengenai langkah seterusnya pasca 31 Ogos akan mengambil kira input termasuk daripada JPV dan DOSM.

"Pada masa ini, tidak perlu ada sebarang spekulasi kerana kita akan melihat kepada data dan kaedah yang tidak membebankan orang ramai," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi di sini pada Isnin.

Annuar berkata, antara faktor yang dinilai sebelum membuat keputusan ialah keberadaan bekalan ayam dalam negara yang dibawa masuk melalui kebenaran import, ayam yang dikeluarkan secara tempatan dan kuantum yang dijangka boleh dieksport semula.

Beliau berkata, DOSM diminta membuat pengiraan berasaskan kajian di lapangan kos sebenar pengeluaran bagi setiap ekor ayam dalam negara.

"Angka itu penting bagi jawatankuasa menentukan berapakah harga siling yang munasabah untuk memastikan kita dapat membuat kawalan harga yang berkesan dan juga untuk kita berlaku adil kepada penternak yang kadangkala menghadapi tekanan kos pengeluaran terutama yang berpunca daripada barangan import seperti bijirin dan sebagainya," kata beliau.

JPV pula dikehendaki menentukan pertalian antara bekalan ayam yang dibenarkan diimport, ayam yang diimport disimpan sebagai stok penimbal, ayam diimport yang dimasukkan dalam pasaran serta mengambil kira harga ayam yang dikeluarkan dalam pasaran bagi menentukan jumlah stok yang ada pada satu-satu masa dan jumlah keperluan untuk dieksport.

"Setelah angka-angka ini dibentangkan kepada jawatankuasa, barulah kita boleh memutuskan sama ada kita nak mengkaji semula dasar tidak dibenarkan mengeksport ayam pada masa ini serta dasar membenarkan ayam boleh dimport tanpa AP (Permit Import) sepertimana yang diumumkan sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Annuar berkata, walaupun terdapat banyak permintaan daripada penternak untuk mengeksport ayam susulan permintaan tinggi dari Singapura namun semua pihak diminta bersabar supaya jawatankuasa dapat meneliti data yang ada bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal.

"Sama ada eksport dibuka atau tidak, dan sama ada mekanisme subsidi yang sedang dilaksana sekarang diteruskan atau tidak, hanya akan diputuskan setelah kementerian dan agensi berkaitan mengemukakan laporan terperinci kedudukan bekalan dan juga permintaan bagi barangan yang dimaksudkan," katanya.

"Jawatankuasa mengambil pendekatan segala-galanya mesti berasaskan kepada kutipan data yang terkini, ada satu formula yang jelas tentang berapakah keperluan sebenar permintaan tempatan dan berapakah yang dibenarkan untuk dieksport sekiranya keputusan membenarkan untuk dieksport," katanya.

Pada 29 Julai lepas, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan akan mengkaji semula harga siling runcit ayam standard serta kebenaran mengeksport ayam selepas pelaksanaan harga siling RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia tamat pada 31 Ogos ini. - Bernama.