Mohd Shafie menang tanpa bertanding Presiden Warisan

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Parti Warisan (Warisan), kata Setiausaha Agung parti itu Loretto Padua Jr.

Beliau yang mengesahkan perkara itu berkata, Mohd Shafie satu-satunya nama yang dicalonkan bagi jawatan presiden untuk pemilihan parti yang dijadual diadakan pada Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2021 pada 26 hingga 27 Ogos ini.

Loretto berkata, dalam pencalonan yang ditutup pada 7 Ogos lepas, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden Warisan apabila menjadi satu-satunya calon bagi jawatan itu.

"Dalam perlembagaan parti kita ada tiga jawatan Naib Presiden, dan hanya tiga orang menghantar pencalonan jadi mereka juga menang tanpa bertanding,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong di sini pada Isnin.

Beliau berkata, tiga naib presiden parti itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Dr Jaujan Sambakong, ADUN Tanjong Aru, Datuk Junz Wong dan Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun.

Loretto berkata, 20 jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) akan dipertandingkan pada perhimpunan itu dan pihaknya telah menerima 50 pencalonan untuk jawatan berkenaan, namun hanya 40 calon layak bertanding jawatan berkenaan.

"Jawatan dilantik pula kita ada Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan, dua Naib Presiden dan 11 AMT akan dilantik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, mesyuarat AMT pada Isnin memutuskan untuk menggantung tiga bahagian parti itu iaitu Lahad Datu, Kota Marudu dan Beaufort berikutan beberapa isu berlaku pada mesyuarat agung dan pemilihan peringkat bahagian parti berkenaan pada awal bulan ini.

Artikel Berkaitan:

"Lahad Datu dan Kota Marudu kita gantung mereka kerana dalam menganjurkan mesyuarat agung itu ada beberapa perkara agak bercanggah dengan peraturan yang ada, kekecohan dan pergeseran berlaku tetapi kita boleh kawal ketenteraman di dua bahagian ini.

"Dua bahagian ini kita gantung pentadbirannya dan diurus secara terus daripada ibu pejabat. Beaufort tidak mengadakan mesyuarat agung mereka setelah didapati ada perkata-perkara yang tidak lengkap di bahagian tersebut,” katanya menambah Warisan mempunyai 25 bahagian di Sabah dan satu bahagian di Labuan.

Beliau berkata, tiga bahagian itu dijangka mengadakan mesyuarat agung selepas Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2021 nanti, dan perwakilan daripada tiga bahagian itu akan hadir sebagai pemerhati pada perhimpunan berkenaan yang dijangka dihadiri 5,000 orang ahli parti.

Mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, Mohd Shafie berkata, Warisan telah menyusun perancangan dan jentera, namun sehingga kini masih belum memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang akan ditandingi kelak. - Bernama