PRU15: Warisan sudah minta setiap bahagian kemuka senarai calon

Mohd Shafie ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) sudah meminta setiap bahagian parti itu mengemukakan senarai untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata, setakat ini parti belum lagi memutuskan calon yang akan dikemukakan pada PRU15.

"Kita sudah lama beritahu dengan bahagian-bahagian di mana saya telah minta kemukakan (senarai calon) kepada pimpinan kita.

"Saya ingat awal lagi kita sudah maklumkan, cuma kita tidak uar-uarkan siapa dia (calon) dan bahagian boleh kemukakan tetapi pimpinan parti akan putuskan nanti," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan Kolombong di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya samada Warisan sudah menerima senarai calon yang dikemukakan oleh setiap bahagian parti bagi menghadapi PRU15 atau sebaliknya.

Diminta mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan calon untuk dikemukakan pada PRU15 juga termasuk calon dari semenanjung yang akan bertanding di kawasan masing-masing.

"Di semenanjung, kita akan letakkan calon di situ. Kita akan minta laporan daripada semua pengerusi perhubungan di beberapa negeri yang kita sudah lantik dan mereka akan maklumkan dengan kita kerana mereka yang mengetahui siapa yang layak dan boleh untuk menawarkan diri sebagai calon di kawasan masing-masing.

"Setakat ini, kita belum dapat maklum balas daripada badan perhubungan kita (bagi calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri)," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRU15, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara terperinci.

"Kita tidak bincang secara terperinci tentang gabungan dengan mana-mana parti.

"Bagaimanapun, kita kena ada kesiapsiagaan kita dulu seperti yang saya selalu ingatkan, perkuatkan rumah kita dulu, perbaiki rumah kita dulu selepas itu kita lihat bagaimana keadaan yang akan berlaku khususnya di peringkat Sabah ini," katanya.