Lelaki disyaki rogol rakan sekerja direman

Kenyataan media berhubung kejadian terbabit. Gambar kecl : Ahmad Shukri
Kenyataan media berhubung kejadian terbabit. Gambar kecl : Ahmad Shukri
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki disyaki merogol rakan sekerjanya di dalam sebuah tandas di sebuah restoran terkenal di bandar raya ini bulan lepas kini direman di penjara sehingga menunggu tarikh perbicaraan akan datang.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas laporan polis dibuat ibu mangsa yang juga wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 22 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada 1 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang lelaki tempatan ditahan di sekitar bandaraya Alor Setar selepas laporan dibuat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku tanpa kerelaan dan mangsa telah dipaksa dengan ditarik ke dalam tandas lelaki di restoran berkenaan.

"Mangas kemudiannya dirogol dan dipaksa melakukan hubungan luar tabii," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memaklumkan, suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Ahad dan kini ditahan reman sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta orang ramai agar bersama dengan polis dalam membanteras kegiatan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah khususnya jenayah seksual melibatkan mangsa wanita dan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan: