Budak lelaki rentung, lima ahli keluarga melecur

Pasukan bomba menemui mangsa kebakaran yang rentung dalam kejadian di Kampung Perpaduan, Kinabatangan.
Pasukan bomba menemui mangsa kebakaran yang rentung dalam kejadian di Kampung Perpaduan, Kinabatangan.
A
A
A

KINABATANGAN - Seorang kanak-kanak lelaki rentung manakala lima lagi melecur selepas rumah mereka diami terbakar dalam kejadian di Kampung Perpaduan, pada tengah malam Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa Mohd Adlinsyah Mohd Adsni, 6, dipercayai terperangkap sebelum ditemui rentung di dalam biliknya.

Sementara itu bapa kepada kanak-kanak terbabit Mohd Adsni Sani, 43, melecur sebanyak 60 peratus manakala anaknya yang lain iaitu Mohd Isnain, 12, melecur 70 peratus; Mohd Adlisyam, 3, melecur 30 peratus.

Isteri kepada Mohd Adsni iaitu Alina Sahari, 41, serta anak saudaranya, Mohd Ishak Hafsham, 15, pula masing-masing melecur lima peratus manakala ibunya, Minah Kanawi, 77, dan seorang lagi anak mereka Mohd Mikail, 3, tidak cedera.

Nurul Azlan Shah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah malam.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan ketika pasukan bomba tiba di lokasi, rumah terbakar sepenuhnya.

"Hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa ditemui rentung di dalam bilik dengan keadaan tertiarap manakala lima cedera akibat melecur dan dua lagi selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Katanya lagi, api berjaya dikawal pada jam 2.04 pagi dan pemeriksaan turut dilakukan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ditamatkan pada jam 3.56 pagi dan mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.