SUKIPT 2022: UIAM lepasi ranjau UPNM

UIAM
UIAM
A
A
A

JUARA bertahan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengesahkan kemaraan ke separuh akhir acara ragbi tujuh sebelah (7s) temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

UIAM mengesahkan slot itu selepas menyingkirkan cabaran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), 12-5 dalam perlawanan suku akhir di Padang Istiadat Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Ahad.

“Pada perlawanan ini, Kami dan UPNM menampilkan aksi agak seimbang. Ini kerana masing-masing mahu mencari kemenangan untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

“Bagaimanapun alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada kami. Saya harap mereka mampu beraksi dengan lebih baik selepas ini bagi mencerahkan peluang mara ke perlawanan akhir,” kata jurulatih UIAM, Khairul Azhar Shaarani.

Menanti UIAM di separuh akhir ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 12-10.

Turut sama mengesahkan slot separuh akhir ialah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 38-5.

Kemenangan itu menyaksikan UPM akan berentap dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang mengesahkan kemaraan selepas menjinakkan Kolej Profesional Mara 19-14.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!