Ibu terkejut dapat tahu anak lemas di Mesir

Muhammad Firdaus
Muhammad Firdaus
A
A
A

KUBANG KERIAN - Ibu mangsa lemas sungai di Al-Qanathir Al-Khairiyah, Mesir, Siti Azlina Mohamad, 46, tidak menyangka kejadian itu menimpa anaknya, Muhammad Firdaus Ab Rais.

Pelajar berusia 25 tahun jurusan Syariah, Universiti Azhar, Mesir, itu dikatakan pergi berkelah bersama 10 rakan lain di sebuah sungai pada Jumaat tetapi ditemui lemas kira-kira jam 10 pagi Sabtu.

Kejadian itu turut mengorbankan seorang lagi rakannya yang berasal dari Patani, Thailand.

Siti Azlina ketika ditemui mengakui masih terkejut dengan kejadian yang berlaku ke atas anak sulungnya itu tetapi reda dan sedang membuat persiapan untuk bertolak ke Mesir petang Ahad.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Muhammad Firdaus ketika majlis perkahwinan anaknya itu tahun lalu.

"Selepas itu arwah dan isterinya pulang semula ke Mesir untuk menyambung pelajaran.

"Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada mertua arwah Jumaat lalu kira-kira jam 11 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya pada Ahad.

Menurut Siti Azlina, Muhammad Firdaus seorang anak yang baik dan peramah serta sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak melakukan sesuatu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya untuk pergi berkelah di sungai itu," katanya.

Tambah Siti Azlina, jenazah Muhammad Firdaus dijangka dikebumikan pada jam 4 petang waktu Malaysia.