SUKIPT 2022: Nur Azwani cemerlang sumbang emas buat UPM

Aksi Nur Azwani (kiri) pada perlawanan akhir acara kumite wanita bawah 61kg di SUKIPT 2022 pada Sabtu.
Aksi Nur Azwani (kiri) pada perlawanan akhir acara kumite wanita bawah 61kg di SUKIPT 2022 pada Sabtu.
A
A
A

ATLET karate Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Nur Azwani Nor Azli meneruskan rentak cemerlang apabila mengungguli acara kumite wanita bawah 61 kilogram (kg) di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 pada Sabtu.

Nur Azwani yang juga pemenang pingat emas bagi acara sama di Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Thailand baru-baru ini tidak berdepan masalah untuk menidakkan cabaran lawannya dari Politeknik Malaysia, Vaisnavi Murugan apabila memenangi perlawanan itu dengan skor 12-2.

Jelas Nur Azwani, dia berpuas hati dengan prestasi semasanya selain mengakui lawannya di peringkat akhir tidaklah begitu sukar.

“Saya sangat gembira dengan pencapaian dan prestasi yang saya lakukan tadi. Saya bangga dengan diri saya.

“Saya rasa perlawanan akhir tadi macam senang sebab lawan saya mungkin masih kurang pendedahan. Lagi satu dia juga bukan daripada altet Sukan Malaysia (SUKMA) atau kejohanan lain.

“Daripada Sukan Universiti ASEAN (AUG) saya dapat konsisten yang lebih baik cuma hari ini saya rasa penat sikit, mungkin faktor cuaca," katanya ketika ditemui selepas perlawanan akhir kumite wanita di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam pada itu, Nur Azwani berkata, selepas ini dia akan memberi tumpuan untuk terus mempamerkan aksi yang cemerlang di temasya Sukan Perpaduan Islam sebelum pulang ke Malaysia untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA).

“Esok saya akan terbang ke Turkiye untuk sertai Sukan Perpaduan Islam. Jadi, saya akan fokus itu dulu sebelum balik semula untuk SUKMA pula.

Artikel Berkaitan:

“Saya atlet yang masih kurang berpengalaman jadi kalau dapat apa-apa pingat pun saya terima sebab itu pencapaian saya. Kalau tak dapat apa-apa saya ambil itu sebagai pengalaman,” katanya.