'Durian runtuh' RM245,000 buat kem badminton

Norza (tengah) bersama pemain badminton negara yang beraksi cemerlang pada Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan SEA Hanoi pada majlis penyerahan insentif pada Sabtu. - Foto Facebook Badminton Association Malaysia.

A
A
A

DURIAN runtuh buat barisan pemain badminton yang membawa pulang pingat di Sukan SEA Hanoi dan Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini apabila mereka akan menerima imbuhan sebanyak RM245,000 daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pasangan wanita, M Thinaah dan Pearly Tan menjadi penerima paling bertuah kerana memperoleh RM50,000 selepas merangkul emas dalam acara beregu di Komanwel Birmingham selain masing-masing turut menerima tambahan RM10,000 untuk acara berpasukan.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, tempias pemberian bonus itu turut melibatkan barisan kejurulatihan selepas menjadi tunjang barisan badminton negara memenangi emas dalam acara berpasukan di Komanwel Birmingham.

Katanya, program insentif itu adalah untuk pemenang emas di Sukan SEA dan pemenang pingat di temasya Komanwel.

"Kami mahu meraikan kejayaan diraih di Hanoi yang meraih emas dan juga pemain di Birmingham. Di Hanoi, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei meraih gelaran terbesar mereka dengan memenangi emas selepas menewaskan rakan senegara.

"Di Birmingham, saya gembira pasukan negara yang disertai gabungan pemain berpengalaman dan muda berjaya meraih semula emas dalam acara berpasukan campuran. BAM menghargai usaha gigih dan pengorbanan dilakukan pasukan.

"Pemain sudah meletakkan usaha terbaik mereka untuk membanggakan dan kejayaan Jalur Gemilang," katanya selepas majlis penyerahan insentif dan Mesyuarat Ahli Lembaga BAM pada Sabtu.

Norza (kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM50,000 kepada Thinaah (tengah) dan Pearly yang beraksi cemerlang dalam acara beregu dan berpasukan di Sukan Komanwel Birmingham pada majlis penyerahan insentif pada Sabtu. - Foto Facebook Badminton Association Malaysia.

Turut menerima insentif itu adalah pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang meraih perak di Birmingham sekali gus memperoleh RM10,000, manakala beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menang gangsa bersama Tan Kian Meng-Lai Pei Jing masing-masing menerima RM7,500.

Pasangan emas di Sukan SEA Vietnam dalam acara beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pula membawa pulang RM30,000 selepas menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 15-21, 21-19, 21-13 di pentas final.

Sebagai rekod, sukan badminton sudah menyumbang 69 pingat secara keseluruhan di Sukan Komanwel, iaitu 31 emas, 22 perak dan enam gangsa.