Tiga tokan heroin ditahan

Azizi (kiri) menunjukkan kesemua heroin yang dirampas daripada tiga tokan di Semanggol pada Khamis.
Azizi (kiri) menunjukkan kesemua heroin yang dirampas daripada tiga tokan di Semanggol pada Khamis.
A
A
A

BAGAN SERAI - Tiga penganggur dipercayai tokan besar di daerah Kerian ditahan bersama dadah seberat 2.8 kilogram di sini pada Khamis.

Serbuan kira-kira jam 3.50 petang itu dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah ladang kelapa sawit di Semanggol di sini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kesemua dadah jenis heroin bernilai RM98,429.10 itu ditemui dalam topi keledar milik salah seorang suspek.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 19 hingga 38 tahun itu disyaki mendapatkan bekalan dari negeri berhampiran.

"Dadah terbabit dibawa masuk ke kawasan ini daripada negeri jiran di utara sebelum dibungkus dan diedarkan ke kawasan setempat termasuk daerah Taiping dan Selama.

"Kita dapati keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan lebih 2,000 penagih dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini pada Sabtu.

Azizi berkata, sebuah lori dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR bernilai RM67,000 turut disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Semakan lanjut mendapati dua suspek berkenaan mempunyai rekod lampau dalam kesalahan mencuri dan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamin" katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek direman selama seminggu sehingga 18 Ogos ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.