Messi terlepas trofi Ballon d'Or

Messi
Messi
A
A
A

NAMA bintang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi yang juga penyandang anugerah Ballon d'Or 'tercicir' daripada senarai 30 calon bagi meraih gelaran berprestij dunia itu bagi edisi kali ini.

Khabar itu pasti mengejutkan peminat bola sepak kerana ini adalah kali pertama kapten Argentina berkenaan tidak tersenarai dalam tempoh 16 tahun sejak 2006.

Malah, Messi pemenang tujuh kali anugerah tertinggi bola sepak dunia itu sentiasa berada dalam kelompok tiga terbaik sejak 2007 kecuali pada 2018.

Penghijrahan dari Barcelona ke PSG nyata tidak berbaloi buat pemain berusia 35 tahun itu selepas melalui musim pertama yang kurang menyerlah di Paris.

Perubahan format juga tidak membantu Messi dengan anugerah Ballon d'Or tidak lagi mengambil kira pemain terbaik dalam kalendar tahunan.

Sebaliknya berdasarkan rekod musim berkaitan 'persembahan individu' dan 'perwatakan penting dan mengagumkan' setiap calon mengikut kriteria ditetapkan.

Selepas meninggalkan Barcelona pada musim lalu, Messi gagal menggunakan kepakarannya di PSG yang terdesak mahu mendapatkan trofi Liga Juara-Juara.

Rakan sepasukan Messi, Neymar juga tidak tersenarai selepas dia hanya menjaringkan 13 gol dalam 28 perlawanan musim lalu.

Artikel Berkaitan:

Karim Benzema dilihat sebagai calon pilihan selepas mengetuai Real Madrid menang gelaran ke-14 Liga Juara-Juara musim lalu.

Benzema menyertai senarai 30 calon termasuk rakan sepasukannya - Thibaut Courtois, Casemiro; pemenang edisi 2018, Luka Modric, Vinicius Jr dan bekas pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger.

Naib juara Liga Juara-Juara, Liverpool memiliki tujuh pemain, calon paling ramai berbanding kelab lain.

Mereka terdiri daripada Trent Alexander-Arnold, Luis Diaz, Fabinho, Sadio Mane yang kini berpindah ke Bayern Munich, Darwin Nunez, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk.

Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, pemenang lima kali Ballon d'Or juga tersenarai sekali lagi tahun ini selain penyerang baharu Manchester City, Erling Haaland.

Penganjur Ballon d'Or menetapkan bahawa anugerah itu akan dilangsungkan di Paris pada 17 Oktober depan.