Dua pasangan dicekup khalwat beri alasan mahu rehat

Antara pasangan ditahan dalam operasi dijalankan di sekitar pusat bandar raya Kuala Terengganu, pada Jumaat.
Antara pasangan ditahan dalam operasi dijalankan di sekitar pusat bandar raya Kuala Terengganu, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua pasangan memberi alasan mahu berehat ketika dicekup dalam operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Unit Penguatkuasaan Daerah Kuala Terengganu, awal pagi Jumaat.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, tangkapan itu melibatkan sepasang kekasih masing-masing berusia 19 tahun serta satu lagi pasangan berusia 26 dan 28 tahun.

"Pasangan pertama merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditahan bersama seorang lelaki yang telah bekerja.

"Ketika ditahan, suspek lelaki memberikan alasan mahu menumpang berehat di situ (hotel) selepas pulang kerja dan tidak melakukan apa-apa," katanya ketika dihubungi disini, pada Sabtu.

Menurut Md Adnan, satu lagi pasangan kekasih yang berasal dari Kelantan turut memberikan alasan sama.

"Pasangan berkenaan memberikan alasan mahu berehat setelah penat memandu dari Kelantan," katanya.

Md Adnan berkata, kedua-dua pasangan itu ditahan di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya

"Kedua-dua pasangan telah dilepaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah," katanya.

Pemeriksaan berwaran dijalankan di hotel-hotel sekitar bandar raya Kuala Terengganu pada malam Jumaat lalu melibatkan seramai 13 pengawai penguat kuasa syariah.

-ENDS-