'Penang Woman' miliki wajah lakaran

Shaiful menunjukkan lakaran wajah berbentuk 3D yang dihasilkan pada 5 Julai lalu.
Shaiful menunjukkan lakaran wajah berbentuk 3D yang dihasilkan pada 5 Julai lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Selepas lima tahun penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menemui rangka manusia prasejarah yang digelar 'Penang Woman', rangka yang berusia lebih 5,000 tahun itu kini mempunyai wajah lakaran.

Dengan menggunakan kaedah 'Forensic Facial Approximation', para pengkaji yang diketuai oleh Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Dr Johari Yap Abdullah berjaya membuat lakaran wajah cetakan tiga demensi (3D) wanita yang rangkanya ditemui di Guar Kepah, Seberang Perai Utara pada 19 April 2017.

Lakaran wajah 'Penang Woman' dibuat menerusi kaedah 3D 'virtual reconstruction' oleh sekumpulan penyelidik USM dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Salah seorang ahli kajian, Shaiful Idzwan Shahidan berkata, lakaran wajah 'Penang Woman' tersebut siap pada 5 Julai lalu dan diterbitkan pada 5 Ogos yang dimuatkan dalam artikel jurnal yang diterbitkan menerusi Applied Sciences, https://www.mdpi.com/journal/applsc.

Lakaran wajah berkenaan dijalankan oleh pasukan sama yang terlibat dalam pembentukan ciri wajah untuk 'Perak Man' menggunakan kaedah yang sama tahun lalu.

Rangka lelaki tertua prasejarah purba yang dikenali sebagai 'Perak Man' yang dipercayai berusia 11,000 tahun ditemui oleh sepasukan ahli arkeologi tempatan di Gunung Gua Runtuh, di Lembah Lenggong, Perak pada 1991.

Shaiful Idzwan yang juga penulis koresponden jurnal berkata, berdasarkan kajian pada wajah wanita yang dihasilkan, 'Penang Woman' adalah daripada dua campuran kelompok Australomelanesoid (tipikal orang asli) dan Mongoloid.

"Rangka yang terdiri daripada tengkorak, tulang paha dan tulang rusuk itu ditemui sewaktu beberapa pekerja sedang menggali kawasan tersebut yang dikenal pasti sebagai tapak pembinaan galeri arkeologi pada masa depan.

"Kawasan tersebut terletak berhampiran jalan utama di Kampung Guar Kepah. Ia merupakan tapak arkeologi yang sememangnya terkenal dalam kalangan pakar arkeologi sebelum ini selain muka bumi kawasan tersebut adalah berbukit dengan timbunan cangkerang.

"Timbunan cengkerang laut yang dipercayai wujud sekitar tahun 1800-an. Rangka tersebut ditemui di dalam tanah yang mengandungi banyak cangkerang menyebabkan keadaan rangka yang ditemui hampir sempurna.

"Ia ditemui kira-kira 70 sentimeter dari permukaan tanah," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai keadaan tengkorak yang ditemui itu, Shaiful berkata, lokasi penemuan memainkan peranan penting terhadap kualiti tengkorak.

"Selalunya tengkorak yang ditemui di dalam gua lebih tahan lama berbanding di tempat terbuka seperti ini.

"Kami percaya, keadaan tanah yang dipenuhi cangkerang membantu kualiti tengkorak yang mana, cangkerang mempunyai kalsium dan ia berperanan untuk 'menjaga' kualiti tengkorak," katanya.

Shaiful berkata, penemuan rangka manusia Neolitik di kawasan tersebut membuktikan kewujudan sebuah komuniti yang pernah menetap di situ dan mengamalkan budaya serta kepercayaan khusus.

Replika rangka 'Penang Woman' yang disimpan di USM.
Replika rangka 'Penang Woman' yang disimpan di USM.

“Kewujudan peninggalan tembikar yang tertanam bersama rangka tersebut mengesahkan kewujudannya pada zaman Neolitik.

“Selain Guar Kepah, cengkerang laut yang sama juga ditemui di kawasan terdapat aktiviti manusia termasuk komuniti pesisiran pantai di beberapa tempat di Indonesia antaranya Aceh dan Medan serta komuniti lain seperti di Senegal," katanya.

Tambahnya, kawasan tamadun awal itu telah ditemukan oleh seorang pengkaji British pada tahun 1863 dan sebanyak 41 rangka telah dijumpai dan ia kini disimpan di Muzium Natuurhistorisch, Leiden, Belanda untuk dijalankan kajian.

"Tengkorak 'Penang Woman' adalah yang ke 42 ditemui di kawasan tersebut. Ketika ditemui, keadaan rangka adalah dengan lengannya dilipat ke dada dan dikelilingi tembikar, alat batu dan beberapa spesies cangkerang.

"Kajian mendapati, rangka manusia itu dianggarkan meninggal dunia ketika berusia 30 hingga 35 tahun dengan ketinggian kira-kira 150 sentimeter. Sementara itu, ujian pada tisu rangka juga dapat disimpulkan bahawa diet wanita tersebut adalah berasaskan protein iaitu daripada makanan laut atau sungai," katanya.

Tambahnya, 'Penang Women' akan ditempatkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas yang dijangka siap pada 2025.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya berharap 41 lagi rangka yang ditemukan di Guar Kepah dapat dibawa pulang oleh kerajaan negeri ke Pulau Pinang bagi tujuan penyelidikan.

"Sekiranya rangka-rangka yang ditemukan di Guar Kepah dapat dibawa pulang ke sini, kita dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang kelompok dan cara hidup masyarakat zaman prasejarah ketika itu," katanya.