49 individu beragama Islam ditahan minum arak

DBKL turut mengenakan tindakan penutupan (sealed) serta merta.
DBKL turut mengenakan tindakan penutupan (sealed) serta merta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 49 individu beragama Islam ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas didapati mengambil minuman keras dalam Operasi Bersepadu Premis Hiburan, pada Jumaat.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, 49 individu beragama Islam terdiri daripada 24 orang lelaki dan 25 wanita yang ditahan Jawi diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559).

Operasi diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan di sekitar Jalan Kia Peng dan Jalan Metro Pudu sebelum berakhir pada jam 4 pagi, pada Jumaat.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, selain Jawi, operasi dengan kerjasama agensi sahabat itu melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan.

Menurut DBKL, hasil pemeriksaan dijalankan di tujuh buah premis hiburan, DBKL turut mengenakan tindakan penutupan (sealed) serta merta dan sita peralatan terhadap satu (1) buah premis di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

"Ini termasuk membuka satu kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik) tanpa kebenaran dan satu notis di bawah Kaedah 29(2), Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993 kerana membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan (kelab malam)," menurut kenyataan itu.

Selain itu, DBKL mengeluarkan satu notis kompaun di bawah UUK 5(1), Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1989 kerana mempamerkan iklan premis tanpa lesen dan membuat tindakan sita terhadap 10 pelbagai peralatan muzik melibatkan 'spinner', 'karaoke system player', 'mixer' dan 'sound controller' serta pembesar suara.