Inflasi teras diunjur hingga tiga peratus: BNM

Inflasi teras diunjurkan hampir kepada julat 2.0 hingga 3.0 peratus pada 2022. - Foto 123rf
Inflasi teras diunjurkan hampir kepada julat 2.0 hingga 3.0 peratus pada 2022. - Foto 123rf
A
A
A

INFLASI teras diunjurkan hampir kepada julat 2.0 hingga 3.0 peratus pada 2022, berikutan permintaan terus meningkat dalam suasana persekitaran kos tinggi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, risiko yang meningkat terhadap prospek inflasi akan tertakluk kepada kekuatan permintaan domestik, harga global dan langkah-langkah dasar domestik.

"Bagaimanapun, tahap tekanan yang meningkat terhadap inflasi dijangka sebahagiannya terus dikawal oleh langkah-langkah kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan adanya kapasiti tambahan dalam ekonomi,” katanya pada sidang media bersama Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2022 di sini pada Jumaat.

Nor Shamsiah berkata, peningkatan inflasi makanan, yang menjadi pemacu utama inflasi domestik baru-baru ini, disebabkan terutamanya oleh harga komoditi global utama yang tinggi dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang kukuh yang turut menambahkan lagi tekanan harga.

Faktor global dan domestik lain, yang mempunyai perbezaan untuk barangan turut menyumbang kepada inflasi makanan seperti logistik, kos buruh dan permintaan.

Selain itu, katanya, impak daripada pergerakan kadar pertukaran juga boleh berbeza-beza dalam pelbagai perkara.

Bagi baki tahun ini, Nor Shamsiah menjangka inflasi keseluruhan akan mencatatkan peningkatan dalam tempoh beberapa bulan, sebahagiannya berikutan kesan asas diskaun harga elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021.

"Secara keseluruhan bagi Malaysia, tekanan kos ini telah menyebabkan inflasi keseluruhan yang lebih tinggi, yang menokok 2.8 peratus pada suku tersebut dan 3.4 peratus pada Jun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada suku berkenaan, BNM berkata, inflasi keseluruhan dan teras, masing-masing naik kepada 2.8 peratus dan 2.5 peratus berbanding 2.2 dan 1.7 peratus pada suku pertama.

Ia mencerminkan situasi permintaan yang bertambah baik dalam suasana persekitaran kos tinggi, dengan peningkatan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan barangan makanan lain.

"Sehubungan itu, bahagian barangan Indeks Harga Pengguna mencatatkan purata peningkatan harga bulanan yang lebih tinggi pada 63 peratus. Kami akan terus memantau perkembangan ini,” kata Nor Shamsiah.

Mengenai sama ada langkah kerajaan mengenakan subsidi bersasar akan meningkatkan kadar inflasi dan kesan kepada ekonomi, Nor Shamsiah berkata, bantuan dari segi subsidi bersasar adalah perlu untuk mengukuhkan perlindungan sosial dan menyediakan jaringan keselamatan untuk membantu golongan mudah terjejas.

"Kita telah menyaksikan pertumbuhan yang tidak sekata dan segmen isi rumah dan perniagaan yang belum pulih ke tahap sebelum pandemik.

"Ia merupakan rasionalisasi daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, di mana penjimatan yang boleh anda perolehi akan membantu kumpulan mudah terjejas yang mungkin mengambil tempoh lebih panjang untuk pulih daripada pandemik serta untuk mereka menggunakan kemahiran baharu, menambah kemahiran dan melatih semula bagi memenuhi permintaan untuk pekerjaan pada masa akan datang.

"Oleh itu, kesan yang akan diterima terhadap ekonomi dapat diuruskan,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, subsidi bersasar sebaik-baiknya dilakukan secara beransur-ansur dan mempertimbangkan persekitaran inflasi semasa, iaitu apabila negara tidak mengalami tekanan inflasi tinggi. - Bernama