Warga emas disyaki pukul anak angkat ditahan

Polis menahan suspek dirumahnya selepas menerima rakamn video tersebut daripada orang awam.
Polis menahan suspek dirumahnya selepas menerima rakamn video tersebut daripada orang awam.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang wanita warga emas ditahan pada Jumaat kerana disyaki mendera anak angkatnya yang berusia 10 tahun dengan menarik rambut kanak-kanak itu di hadapan rumah mereka di Tanjung Sepat, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, wanita tempatan yang berusia lingkungan 60-an itu ditahan di rumahnya pada jam 12.10 tengah malam tadi.

"Hasil siasatan suspek adalah wanita warga tempatan dan mangsa adalah anak angkat berdaftar kepada suspek yang dipercayai tinggal bersama sejak kecil dan kini berusia lingkungan 10 tahun.

"Bertindak atas maklumat, pasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat membuat serbuan di sebuah rumah dan berjaya menahan wanita itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya menerima laporan daripada Ketua Balai Polis Tanjong Sepat yang menerima satu rakaman video berdurasi 33 saat melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar orang awam pada Khamis.

Katanya, video berkenaan memaparkan mangsa yang beruniform sekolah ditarik rambut oleh seorang wanita di hadapan rumah mereka.

"Hasil siasatan awal terhadap suspek mendakwa punca kejadian disebabkan mangsa telah beberapa kali mencuri wang miliknya dan tujuan berbuat demikian supaya mangsa tidak mengulangi perbuatan mencuri lagi," katanya.

Beliau berkata, kanak terbabit diselamatkan dan dihantar ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan dan disahkan mengalami cedera ringan di bahagian kepala.

"Kanak-kanak berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan," ujarnya.