Ramai cenderung pilih terima bantuan tunai

Rakyat di negara ini terutamanya penduduk di PPR di Lembah Klang lebih cenderung memilih bantuan tunai daripada kerajaan. Foto hiasan
Rakyat di negara ini terutamanya penduduk di PPR di Lembah Klang lebih cenderung memilih bantuan tunai daripada kerajaan. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini terutamanya penduduk di Penempatan Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang lebih cenderung memilih bantuan tunai daripada kerajaan.

Menurut laporan Astro Awani, majoriti iaitu 58.2 peratus isi rumah yang terkesan akibat daripada peningkatan harga pada masa ini memilih bantuan tunai.

Sementara itu, 41.8 peratus responden cenderung kepada bantuan bukan tunai dengan memilih bantuan barangan.

Perkara itu antara dapatan yang dinyatakan melalui Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi yang diterbitkan pada Jumaat.

Laporan daripada kajian lapangan itu turut mendapati, faktor umur mempengaruhi kecenderungan isi rumah untuk memilih di antara instrumen tunai dan bukan tunai.

Ia apabila kumpulan umur 45 tahun ke atas iaitu 67.8 peratus memilih untuk mendapatkan bantuan tunai berbanding hanya 32.2 peratus memilih bantuan barangan.

Selain itu, 94.2 peratus responden turut bersetuju sekiranya pihak kerajaan menyediakan kedai satelit di kawasan kejiranan mereka bagi membolehkan isi rumah B40 dan sebahagian M40 mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah.

Pada masa sama, menurut laporan berkenaan, sejumlah 85 peratus bersetuju jika diwujudkan kad diskaun atau kad tunai yang membolehkan isi rumah B40 dan M40 menggunakannya bagi mendapatkan barangan keperluan di kedai biasa dengan harga diskaun.

Artikel Berkaitan:

Kajian dalam kalangan kelompok berpendapatan B40 dan M40 itu adalah hasil kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro Awani dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah baik instrumen dasar menangani kos sara hidup.

Cerapan data menerusi kaedah purposive sampling pada 23 dan 24 Julai lalu melibatkan 120 sampel dijalankan di 27 penempatan di Lembah Klang dengan 18 daripadanya adalah PPR.

Mengikut rekod, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2022 merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah.

Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,200 dan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,480.

Di samping itu, jumlah penerima BKM adalah 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja lantaran had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.