Kabinet digesa tumpu isu ketirisan tadbir urus negara

Muhammad Faiz Fadzil
Muhammad Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa supaya semua menteri memberi tumpuan terhadap penyelesaian isu ketirisan dan kelemahan tadbir urus dalam negara.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat parti itu, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan kepincangan dalam pengurusan agensi dan projek melibatkan kerajaan.

Antaranya, Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC), Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, agihan dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), pembinaan sekolah serta penaiktarafan Parlimen.

"Sepatutnya, menteri-menteri berkaitan menjelaskan kepada umum langkah telah atau bakal diambil untuk mengelakkan masalah sama berulang," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Tambah Muhammad Faiz, menteri-menteri harus lebih proaktif berkaitan isu-isu ketirisan dan kelemahan tadbir urus serta menjadi tanggungjawab utama kabinet untuk memastikan wang rakyat tidak diseleweng tetapi ditadbir dengan baik.

"Hanya pengurusan kerajaan yang baik dapat memulihkan imej Malaysia yang tercalar dengan pelbagai skandal korupsi sehingga digelar 'kleptokrasi' ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah (Datuk Seri) Najib (Tun) Razak sebelum ini,” katanya.