Lelaki ditahan tunggang motosikal curi

Seorang lelaki ditahan selepas menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Hutan Kampung, pada Khamis. - Foto Ihsan PDRM
Seorang lelaki ditahan selepas menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Hutan Kampung, pada Khamis. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan seorang lelaki dipercayai menunggang motosikal curi dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Hutan Kampung, di sini, pada petang Khamis.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam operasi bermula jam 4 petang hingga 11 malam dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang diketuai Inspektor Hilmi Sauti.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam operasi tersebut, anggota trafik telah menahan sebuah motosikal jenis Honda Wave dalam keadaan mencurigakan ditunggang seorang lelaki.

"Hasil daripada pemeriksaan ke atas nombor enjin dan nombor casis motosikal tersebut mendapati motosikal itu dilaporkan hilang sebelum ini.

"Malah, hasil semakan rekod mendapati, suspek memiliki enam rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan jenayah yang dilakukannya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, lelaki itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Kota Setar bersama motosikal terbabit untuk tindakan lanjut.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan muda pada masa kini supaya tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti jenayah dan salah guna dadah.

Tambah beliau, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting bagi mengawal anak-anak agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tidak sihat ini.

Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau maklumat mengenai jenayah dan dadah bolehlah disalurkan kepada pihak polis atau mana-mana balai yang berdekatan.