MOT bangunkan MRDC, perkasa industri rel

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika majlis pelancaran Rail Technology Expo 2022 (RTX 2022) di Stesen Sentral Kuala Lumpur, pada Khamis. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika majlis pelancaran Rail Technology Expo 2022 (RTX 2022) di Stesen Sentral Kuala Lumpur, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membangunkan Perbadanan Pembangunan Kereta Api Malaysia (MRDC) dalam usaha memperkasakan industri rel negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penubuhan MRDC itu dilihat tepat pada waktunya berikutan industri rel negara dijangka berkembang pesat selepas selesainya pembinaan landasan Perkhidmatan Tren Elektrik ETS 3 (laluan ke Johor Bahru) dan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelang 2026.

"Ia kena pada waktunya untuk kita tubuhkan satu badan agar dapat menjadi peneraju bagi membantu kesemua pemegang taruh untuk memajukan industri rel di Malaysia. Pada waktu ini, kita melalui perunding dari Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE), jadi kita perlukan satu struktur syarikat berstatus syarikat terhad dengan jaminan (CLBG).

"Kelulusan telah kita peroleh daripada pihak kerajaan, kalau berstatus CLBG ia menjadi satu syarikat jaminan di bawah kerajaan. Ia mempunyai struktur sendiri dan kita sudah ada cara untuk mulakan suntikan dana. Jadi, ini akan menggantikan nama NRCOE kepada MRDC sahaja dan fungsinya dapat diperluaskan sebagai satu entiti selaku peneraju," katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata penubuhan itu bukan sahaja menjadikan institusi itu sebagai badan koordinasi, tetapi juga sebagai institusi berdaftar mengikut kaedah dan perundangan sedia ada serta mempunyai struktur organisasi yang lebih lengkap.

Ka Siong berkata, pembangunan MRDC telah diluluskan kerajaan dan kini di dalam proses penubuhan dan dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Kita sekarang dalam peringkat penubuhan dan prosesnya sedang berjalan. Apabila kita sudah lengkapkan kesemua prosedur itu, baru kita akan lantik (ahli organisasi) mengikut struktur yang telah dirancang," katanya.

Sebelum itu Ka Siong hadir menyempurnakan majlis pelancaran Rail Technology Expo 2022 (RTX 2022), pameran yang julung kali diadakan hasil usaha sama MOT dengan NRCOE, Malaysia Rail Industry Corporation (MARIC) dan Technology Depository Agency (TDA) di Stesen Sentral Kuala Lumpur. - Bernama