MPAJ berhak buka kepuk, nisan kubur tidak ikut spesifikasi

Notis peringatan larangan sebarang binaan tidak mengikut spesifikasi atas pusara di Tanah Perkuburan MPAJ. Foto: Twitter
Notis peringatan larangan sebarang binaan tidak mengikut spesifikasi atas pusara di Tanah Perkuburan MPAJ. Foto: Twitter
A
A
A

AMPANG - Larangan sebarang binaan atau papan nama tidak mengikut spesifikasi pada pusara di Tanah Perkuburan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dilakukan bagi tujuan penyeragaman dan menjaga kualiti pemasangan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, peraturan tersebut juga bagi memastikan Tanah Perkuburan MPAJ berada dalam keadaan tersusun dan seragam.

Menurutnya, larangan tersebut telah berkuat kuasa sejak pembukaan sesuatu Tanah Perkuburan MPAJ lagi.

"Pihak MPAJ berhak membuka apa jua binaan kepungan atau batu nisan yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

"Larangan ini terpakai untuk ketiga-tiga Tanah Perkuburan MPAJ iaitu Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai 2 (Teratai) dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheras Baru," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas rasa tidak puas hati segelintir pihak berkenaan isu larangan tersebut yang tular di media sosial.

Seorang pengguna Twitter berkongsi notis pemberitahuan dikeluarkan MPAJ mengenai larangan tersebut yang dianggap peraturan itu bagi menguntungkan pihak 'kroni'.

Notis pemberitahuan itu memaklumkan MPAJ berhak membuka, mengalih atau membuang sebarang binaan yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

Selain itu, kontraktor yang berdaftar dengan MPAJ sahaja dibenarkan membuat kepungan dan set nisan.

Malah, tempahan hendaklah dibuat melalui pihak pengurusan MPAJ sahaja.

Norhayati berkata, notis peringatan tersebut telah dipasang di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana iaitu satu-satunya Tanah Perkuburan MPAJ yang masih aktif.

Jelasnya, pemasangan kepuk yang tidak mematuhi spesifikasi atau tidak selari dengan kepuk jenazah lain dikhuatiri akan memberi kesan pada laluan orang awam yang menziarahi kubur.

"Harga tempahan kepungan kubur dan set nisan melalui MPAJ adalah seperti yang diiklankan di laman web rasmi MPAJ antara RM500 hingga RM2,700 mengikut jenis simen, jubin dan marmar.

"Tempahan dibuka kepada waris yang ingin memasang kepungan kubur namun ia bukan paksaan," katanya.

Ujarnya, MPAJ tidak membuka sebarang tempahan bagi binaan lain di kubur selain daripada yang diiklankan di laman web rasmi MPAJ.

Difahamkan, lebih 1,000 tempahan telah dibuat oleh waris sejak Januari hingga Julai lalu.