Kadar kebolehpasaran graduan UniKL lebih 97 peratus

Sebahagian daripada graduan yang terlibat dalam Majlis Konvokesyen Ke-17&18, UniKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebahagian daripada graduan yang terlibat dalam Majlis Konvokesyen Ke-17&18, UniKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencatat kadar kebolehpasaran graduannya sebanyak 97.1 peratus pada 2021 dan 96.1 peratus pada 2020 walaupun situasi ekonomi global mencatatkan pertumbuhan negatif dalam tempoh itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UniKL juga kini berada dalam kelompok 15 universiti terbaik Malaysia mengikut rangking universiti terbaik dunia yang diumumkan oleh Times Higher Education dan QS World University Rankings.

“Berdasarkan laporan kajian pengesanan graduan yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, kadar kebolehpasaran graduan kesemua 12 kampus UniKL tersenarai pada kedudukan 20 tertinggi dalam kalangan universiti dan kolej swasta di negara ini.

“Tiga pusat UniKL bagi teknologi rel, robotik dan satelit pula diiktiraf sebagai TVET Collaboration Hub (TCH) di bawah Majlis TVET Negara manakala UniKL MIIT pula diiktiraf sebagai Premier Digital Tech Institution oleh MDEC,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-17 & 18, UniKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang membabitkan keseluruhan 10,547 graduan iaitu 5,338 graduan tahun 2020 dan 5,209 graduan tahun 2021 serta melibatkan 137 pelajar antarabangsa dari 28 buah negara.

Konvokesyen UniKL tahun ini juga mencatat sejarah apabila seramai 70 graduan sulung program Huffaz Profesional menamatkan pengajian akademik dan hafazan Al-Quran.

Mahdzir menerima watikah pemasyhuran sebagai Pro Canselor UniKL daripada Al-Sultan Abdullah.
Mahdzir menerima watikah pemasyhuran sebagai Pro Canselor UniKL daripada Al-Sultan Abdullah.

Sejak penubuhannya pada 2002, UniKL telah melahirkan sejumlah 73,317 graduan dengan 241 graduannya dari tahun 2016 hingga 2021 dapat menembusi pasaran kerja di luar negara.

Tambah Mahdzir, sebagai pelopor bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional Tinggi (H-TVET) negara, UniKL akan terus mengembangkan program latihan dalam bidang teknologi baharu.

“Kerajaan akan terus membantu perkembangan TVET yang diterajui oleh UniKL termasuk membuka kampus baru di Perlis dan Pahang dalam bidang Logistik Lestari, Kejuruteraan Air, Teknologi Pertanian dan Teknologi Bangunan.

“UniKL juga bercadang membuka sebuah kampus satelit di Sabah dan terbaharu, kita sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah kampus baharu di Kuala Lumpur bagi menyokong misi pengantarabangsaan UniKL.

“Misi itu mampu melonjakkan lagi peranan UniKL dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara, termasuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke Malaysia,” jelasnya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Canselor UniKL dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan.

Terdahulu, Mahdzir menerima watikah pemasyhuran sebagai Pro Canselor UniKL daripada Al-Sultan Abdullah.

Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku Canselor UniKL atas lantikan itu.

"Sesungguhnya perkenan Tuanku Canselor itu datang bersama tanggungjawab yang besar bagi patik untuk memastikan agar UniKL selaku APEX pendidikan TVET milik penuh MARA ini menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi negara terkemuka dunia satu hari nanti", katanya.