Keupayaan BRS sebagai BIS akan dinaik taraf

Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain
Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain
A
A
A

PADANG BESAR - Selaras dengan pengisytiharan Batalion Rejimen Sempadan (BRS) kepada Batalion Infantri Standard (BIS), Tentera Darat Malaysia (TDM) akan meningkatkan keupayaan batalion itu dalam menjaga dan mempertahankan keselamatan negara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, perubahan ini adalah selaras untuk meningkatkan keupayaan tempur dan peralatan meliputi senjata persendirian, senjata-senjata bantuan bagi melengkapkan sebuah BIS.

"Perubahan ini bertujuan membolehkan RS (Rejimen Sempadan) melaksanakan atur gerak seperti operasi di dalam mahupun luar negara yang sama seperti infantri standard yang lain (Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Renjer Diraja).

"Kita akan tambah baik persenjataan sebagai contoh Rejimen Askar Wataniah yang sebelum ini mengguna senjata M16 akan diagihkan senjata jenis M4,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan dan pengisytiharan BRS kepada BIS di Markas 30 Briged Kem Bukit Chowder pada Khamis

Beliau berkata, selain itu anggota Rejimen Sempadan akan menyertai pelbagai kursus kepakaran dalam pengendalian senjata.

Pada majlis itu juga turut diadakan pemakaian pangkat perdana kepada 611 anggota lain-lain pangkat yang dinaikkan pangkat yang merupakan kesinambungan daripada perubahan BRS kepada BIS yang lebih meluas.

Zamrose berkata, infrastruktur kem TDM juga akan dinaik taraf secara berfasa mengikut standard BIS yang mana penyediaan prasarana latihan dan rumah keluarga akan dibina dari masa ke masa. - Bernama