Showcase Transformasi Pendidikan sempena Hari Kebangsaan

Jadual aktiviti Showcase Transformasi Pendidikan yang akan berlangsung di Centre Court Alamanda Shopping Centre, Putrajaya pada 12 hingga 14 Ogos depan.
Jadual aktiviti Showcase Transformasi Pendidikan yang akan berlangsung di Centre Court Alamanda Shopping Centre, Putrajaya pada 12 hingga 14 Ogos depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menganjurkan ‘Showcase’ Transformasi Pendidikan yang akan berlangsung di Centre Court Alamanda Shopping Centre, Putrajaya pada 12 hingga 14 Ogos depan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

KPM dalam kenyataannya pada Khamis memaklumkan, showcase itu bakal memaparkan inovasi dan pencapaian oleh murid dan guru serta perkembangan pendidikan digital negara.

Selain itu, ia akan memaparkan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan dalam pendidikan yang merangkumi empat segmen iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan lepasan menengah serta perkhidmatan pendidikan.

“Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada tahun ini, KPM telah merangka satu program khas dengan pengisian aktiviti berkaitan pendidikan yang dilaksanakan kementerian.

“Program yang dinamakan ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ ini akan mengetengahkan aktiviti-aktiviti pendidikan yang sudah semestinya membawa makna yang tersendiri, bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan.

“Ia juga satu usaha kolaboratif semua bahagian yang ada di KPM untuk menguar-uarkan kepada masyarakat berkaitan projek serta inisiatif transformasi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh KPM dalam usaha memacu kecemerlangan dunia pendidikan di negara ini.

“Ini membuktikan bahawa KPM tidak berada pada kedudukan yang statik tetapi sebaliknya telah dan terus berusaha dengan merangka pelbagai pendekatan baharu dalam dunia pendidikan di negara ini,” jelas kenyataan itu.

Pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang tiga showcase itu berlangsung, antaranya penampilan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan pengurusan tertinggi KPM bagi menyampaikan dasar-dasar terkini kementerian pada 13 dan 14 Ogos.

Selain itu, penampilan Ikon Murid dan Guru yang telah menempah nama di persada antarabangsa adalah antara aktiviti istimewa pada showcase berkenaan.

“Sebaran maklumat oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Bahagian Matrikulasi, Pra Sekolah, Tingkatan Enam, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Bahagian Pendidikan Khas dan GENIUS juga diadakan.

“Kita juga akan membawa persembahan kesenian dan kebudayaan sekolah yang telah menempah nama di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Pelbagai jenis aktiviti yang merangkumi bidang kurikulum dan kokurikulum dan pameran pendidikan digital oleh rakan strategik KPM juga akan disediakan,” jelasnya.