Acuan trofi Piala Dunia Jules Rimet ada di Malaysia

Acuan trofi Piala Dunia Jules Rimet dan plak peringatan Pele antara koleksi 'rare' yang ada.
Acuan trofi Piala Dunia Jules Rimet dan plak peringatan Pele antara koleksi 'rare' yang ada.
A
A
A

SEREMBAN - Siapa sangka pelbagai koleksi tulen barangan pasukan bola sepak bertaraf dunia berada di Malaysia termasuklah acuan trofi Piala Dunia Jules Rimet.

Koleksi berkenaan dimiliki oleh seorang pengumpul barangan di daerah ini yang juga rakan kongsi kepada pemilik Syarikat Hollywood Treasures, Wong Jin Zhen, 32.

Jin Zhen berkata, nilai keseluruhannya dianggarkan lebih RM150 juta selain acuan trofi Piala Dunia itu disifatkan 'rare' kerana bukan orang biasa mampu memilikinya terutama dari Malaysia.

"Saya difahamkan acuan trofi itu dibeli pemiliknya daripada seorang individu di Eropah enam tahun lalu.

"Difahamkan trofi yang sebenar telah hilang ketika diserahkan kepada pasukan Brazil pada tahun 1970 dan disebabkan itu penganjur membuat replika trofi dengan menggunakan acuan itu," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Jin Zhen menunjukkan antara koleksi Piala Dunia.
Jin Zhen menunjukkan antara koleksi Piala Dunia.

Apa yang lebih menarik katanya, hanya terdapat tiga buah acuan piala berkenaan di dunia dan salah satunya di Malaysia.

Beliau berkata, pemilik itu memaklumkan pernah ditawarkan tiga kali ganda harga asal acuan terbabit daripada seorang pengumpul dari Arab Saudi.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit tidak berhasrat menjualnya termasuklah koleksi lain yang ada di antaranya dibeli sendiri daripada pemain bola sepak antaranya dari pasukan England, Manchester United dan Liverpool.

"Antara barangan berkenaan adalah sepasang kasut bola milik pemain Brazil, Ricardo Izecson dos Santos Leite atau lebih dikenali sebagai Kaká, Medal Juara Piala Dunia 1966 yang dimenangi pasukan England dan beberapa barangan lain.

"Barangan lain yang saya anggap unik dan sukar diperoleh adalah kasut bola yang ditandatangani pemain England, Sir George Hurst, jersi pasukan Brazil yang ditandatangani Neymar Jr dan Pele serta jersi Argentina yang ditandatangani Messi serta Maradona," katanya.

Selain itu katanya, terdapat jersi Ballon d'Or, yang merupakan edisi terhad yang ditandatangani Manuel Neuer, Christiano Ronaldo dan Leonel Messi.

Jin Zhen berkata, jersi berkenaan diperoleh daripada FIFA dan untuk edisi itu, hanya 20 dikeluarkan serta difahamkan hanya terdapat satu di Asia.

Jin Zhen menunjukkan jersi Ballon d'Or yang merupakan edisi terhad ditandatangani oleh Manuel Neuer, Christiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Jin Zhen menunjukkan jersi Ballon d'Or yang merupakan edisi terhad ditandatangani oleh Manuel Neuer, Christiano Ronaldo dan Lionel Messi.

"Kesemua barangan ini tidak pernah dipamerkan di mana-mana di negara ini melainkan baru-baru ini di Thailand.

"Itu pun hanya tiga barangan saja iaitu jersi Brazil yang ditandatangani oleh Pele dan Neymar Jr, acuan trofi Piala Dunia Jules Rimet dan plak peringatan Pele," katanya.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan pameran koleksi berkenaan sempena kehadiran Piala Dunia Qatar 2022.