Barcelona pilihan terbaik Bernardo Silva

Aguero (kanan) yakin Silva mampu menyinar bersama Barcelona. - Foto Reuters
Aguero (kanan) yakin Silva mampu menyinar bersama Barcelona. - Foto Reuters
A
A
A

BEKAS bintang Manchester City, Sergio Aguero percaya bekas rakan sepasukannya, Bernardo Silva bakal menjadi tonggak utama sekiranya memilih untuk menyertai gergasi La Liga, Barcelona.

Menurut Aguero, gaya permainan Silva juga dilihat bersesuaian dengan gaya serta formasi yang diterapkan oleh pengendali skuad Blaugrana ketika ini, Xavi.

“Pada pendapat saya, Silva merupakan seorang pemain yang hebat...dia mampu mengawal bola dengan baik, rela berkorban, assist yang berkualiti, mampu menjaringkan gol selain mampu beraksi di pelbagai posisi.

“Saya yakin Barca merupakan pilihan terbaik untuknya (Silva) sekiranya dia mahu ‘mengubah angin’ dan menyertai pasukan baharu.

“Lagipun, corak permainan yang diterapkan Xavi dilihat bersesuaian dengannya dan tidak salah jika dikatakan dia mungkin menjadi pemain tonggak di Nou Camp kelak,” katanya.

Silva kini dikaitkan dengan perpindahan ke La Liga dan menyertai Barcelona setelah khidmatnya dikatakan tidak lagi diperlukan di Etihad.

Sementara itu, Agureo menegaskan dia sendiri tidak percaya dengan khabar yang mengatakan City berkemungkinan ‘melepaskan’ Silva.

Katanya, Silva dilihat sebagai pemain yang banyak menyumbang kepada kejayaan skuad The Citizens itu musim lalu.

“Saya memang agak terkejut apabila mengetahui bahawa Silva bakal ‘dilepaskan’ oleh City, namun perkara seperti itu boleh terjadi dalam dunia bola sepak hari ini.

“Bagi saya jika perkara itu benar-benar berlaku, maka destinasi terbaik Silva adalah Barcelona,” katanya.