Perak bangkit kejutkan Kelantan di Kota Bharu

Pemain Kelantan, Felipe Hereda Dos Santos (kanan) dihalang pemain Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Nor dalam aksi perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Rabu. - Foto Bernama
Pemain Kelantan, Felipe Hereda Dos Santos (kanan) dihalang pemain Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Nor dalam aksi perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PENDAHULU Liga Premier, Kelantan FC gagal mengekalkan momentum kemenangan apabila dikejutkan pasukan bawahan liga Perak FC 1-2 pada Rabu.

Dalam aksi Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu itu, anak buah Yusri Che Lah mempamerkan aura tersendiri apabila bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tiga mata penting di laman keramat The Red Warriors (TRW).

Pemain tengah TRW, Jasmir Mehat terlebih dulu meletakkan anak buah Rezal Zambery Yahya di depan dengan gol seawal minit kedua.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor menyamakan kedudukan pada minit ke-14.

Gol penyamaan itu kembali merancakkan permainan berintensiti tinggi tersebut apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Hasilnya The Bos Gaurus berjaya memimpin perlawanan selepas pemain TRW, Khairul Helmi Johari tertanduk gol ke gawang sendiri pada minit ke-20 untuk kedudukan 2-1.

Bagaimanapun kekalahan itu tidak mengubah kedudukan TRW yang masih memimpin liga dengan 32 mata manakala The Bos Gaurus pula menduduki tangga kesembilan liga dengan tujuh mata selepas masing-masing mengharungi 14 perlawanan.

Untuk rekod kali terakhir anak buah Rezal Zambery Yahya berdepan kekalahan adalah ketika dijinakkan Kuching City 1-2 di Stadium Negeri, Kuching pada 11 April lalu.