Taktik tekong, pendatang asing meniarap dalam semak gagal

Polis menahan PATI warga Myanmar termasuk tekong dalam serbuan di Kampung Kok Pasir, Palekbang, Tumpat pada Selasa. (Gambar kecil: Amran)
Polis menahan PATI warga Myanmar termasuk tekong dalam serbuan di Kampung Kok Pasir, Palekbang, Tumpat pada Selasa. (Gambar kecil: Amran)
A
A
A

TUMPAT - Taktik seorang tekong bersama tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba bersembunyi di dalam semak dengan cara meniarap gagal apabila berjaya dikesan polis pada Selasa.

Kesemua PATI warga Myanmar termasuk tekong itu ditahan dalam serbuan di Kampung Kok Pasir, Palekbang di sini pada jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, semasa melakukan rondaan, anggota unit kereta polis (MPV) telah ternampak sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna merah dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kok Bedollah pada jam 8 pagi.

"Susulan itu, anggota MPV telah bertindak mengekori kereta tersebut. Menyedari diekori, pemandu kereta tersebut bertindak memandu secara melulu dan memecut laju sehingga melanggar kon di hadapan sebuah sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, anggota MPV terus mengejar kereta tersebut sejauh lapan kilometer sehingga ke Kampung Kok Pasir, Palekbang sebelum individu terbabit bertindak berhenti di jalan mati untuk melarikan diri.

Beliau berkata, bagaimanapun tekong yang berusia 35 tahun itu bersama enam lelaki dan seorang perempuan warga Myanmar berusia 22 hingga 50 tahun itu berjaya ditahan dalam kejadian tersebut.