MOTAC tidak lantik ejen dalam permohonan GPPSB

No Image Caption
A
A
A
PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak melantik mana-mana individu atau organisasi sebagai ejen dalam permohonan Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya (GPPSB).

MOTAC dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan pihaknya memperoleh maklumat terdapat individu yang mendakwa telah dilantik sebagai ejen bagi permohonan geran di bawah kementerian itu.

Menurut MOTAC, pihak yang berkelayakan boleh memohon GPPSB mengikut syarat ditetapkan melalui alamat Urus Setia Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya, Lembaga Penggalakan Pelacongan Malaysia (Tourism Malaysia), Bahagian Perancangan Strategik, Aras 2, No.2, Menara 1, Jalan P5/6, Presint 5, 62200 Putrajaya.

Pemohon juga boleh membuat permohonan dengan menghantar e-mel kepada gspsb@tourism.gov.my.

GPPSB adalah inisiatif kerajaan melalui MOTAC bagi membantu penggiat industri daripada pelbagai sektor dan latar belakang dalam penganjuran acara pelancongan, seni dan budaya berimpak tinggi pada tahun ini.

GPPSB terbahagi kepada dua iaitu Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) dengan nilai RM50 juta bertujuan menyemarakkan dan merancakkan semula sektor pelancongan serta kebudayaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Maklumat lanjut mengenai kedua-dua geran itu boleh didapati di laman www.motac.gov.my dan www.tourism.gov.my. - Bernama