Lima individu dikhuatiri lemas bot karam

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Muhammad Suffi)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Muhammad Suffi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima individu dikhuatiri lemas setelah bot yang dinaiki dilaporkan karam kira-kira 10 batu nautika dari perairan Pulau Redang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, bot yang membawa seramai enam kru termasuk tekong itu dilaporkan karam kira-kira jam 10 malam pada Isnin.

"Bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan sebelum dilaporkan karam.

"Setakat ini, seorang mangsa ditemukan selamat iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, mangsa yang terselamat dijumpai oleh bot nelayan lain ketika cuba berenang ke pulau sebelum diserahkan kepada bot perikanan untuk dibawa ke Pulau Redang.

Beliau berkata, pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) sejak Selasa bagi mengesan bot berkenaan.

"Bot Maritim Perkasa 1234 telah digerakkan ke kawasan bot tersebut dilaporkan karam. Sektor pencarian pada hari kedua diluaskan sehingga 242 batu nautika.

"Beberapa aset juga telah digerakkan awal pagi Rabu seperti Kapal Maritim (KM) Redang, aset udara Bombardier CL415 bersama bot Perkasa 1234," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata, Maritim Malaysia meminta kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dapat menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357.