Diberkas gara-gara ganggu kuliah subuh

Polis
Polis
A
A
A

AMPANG - Tindakan seorang lelaki yang menarik mikrofon daripada seorang penceramah dan menjerit mendakwa ceramah yang disampaikan terlalu bising dan mengganggunya membawa padah apabila suspek ditahan, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian jam 7.06 pagi di sebuah surau di Ampang Campuran pada Ahad itu berlaku ketika kuliah subuh.

"Ketika kejadian, suspek menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising dan menganggunya.

"Tindakan suspek tidak beradab dan telah menganggu tempat ibadah dan jemaah surau yang lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, tindakan suspek kemudiannya dihalang jemaah surau yang lain.

"Jemaah surau meminta suspek meninggalkan surau tersebut dengan cara baik," katanya.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai penjaga stor berjaya diberkas pada Isnin kira-kira jam 7 malam di sekitar Ampang.

"Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan ugutan jenayah," katanya.

Tambahnya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.