PT3, UPSR tidak akan dikembalikan

KPM memansuhkan sepenuhnya UPSR pada April lalu dan digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan PBD. - Foto Bernama
KPM memansuhkan sepenuhnya UPSR pada April lalu dan digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan PBD. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan tidak akan dikembalikan, tegas Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alimin.

Menurutnya, pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu dibuat bagi melahirkan modal insan yang berkebolehan dalam pelbagai bidang lain.

"Malaysia adalah sebuah negara maju dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu membekalkan negara dengan modal insan yang kepelbagaian," katanya.

Beliau berkata, kementerian telah mengadakan libat urus dengan masyarakat berhubung keputusan pemansuhan PT3 dan UPSR.

"Berkali-kali kita bagi penerangan bahawa pendekatan tersebut adalah lebih inklusif dan bukannya berdasarkan peperiksaan semata-mata," katanya.

Mohamad berkata demikian mengulas mengenai laporan semakin ramai ibu bapa menuntut peperiksaan tersebut dikembalikan kerana KPM didakwa belum bersedia melaksanakan pentaksiran bilik darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Ujarnya, pendekatan yang diambil KPM akan membantu negara pada masa akan datang.

"Percayalah, insya-ALLAH kita akan bantu negara untuk melahirkan modal insan berkebolehan.

"KPM kekalkan keputusan yang dibuat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di sini pada Selasa.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Idris Zaharudin.

Seramai 57 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional KPM yang terdiri daripada pegawai bahagian, jabatan pendidikan negeri, institusi telah menjalani kursus CeIO selama empat minggu bermula Julai lalu.

Pada 28 April lalu, KPM memansuhkan sepenuhnya UPSR dan digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan PBD.

Sementara pada 2 Jun pula, pemansuhan PT3 diumumkan Menteri Kanan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

UPSR diperkenalkan pada tahun 1987 dan PT3 pula dilaksana sejak tahun 2014, namun kedua-dua pentaksiran tersebut tidak dijalankan pada tahun 2020 dan 2021 berikutan penularan Covid-19.