IWK, EMB teroka ekonomi kitaran

Tuan Ibrahim (tengah) diberi taklimat mengenai proses penghasilan etanol dan biogas daripada pemprosesan air kumbahan.
Tuan Ibrahim (tengah) diberi taklimat mengenai proses penghasilan etanol dan biogas daripada pemprosesan air kumbahan.
A
A
A

CYBERJAYA - Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd pada Isnin menjalin kerjasama dengan EMB Business (EMB) Sdn Bhd dalam mempelopori penghasilan etanol dan biogas daripada pemprosesan air kumbahan bagi tujuan komersial.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, IWK menghasilkan 2.97 bilion meter padu air kumbahan dirawat dalam setahun dan dilepaskan ke sungai serta enap cemar terhasil pula dibuang ke tapak pelupusan.

Beliau bagaimanapun berkata, sejak 2015, IWK telah mempelopori satu model ekonomi kitaran dalam menuju ke arah penggunaan semula bi-produk iaitu air kumbahan sebagai sumber air dan tenaga baharu.

Malah, menurutnya, pemeteraian Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Konsesi Perkhidmatan Pembetungan dipersetujui dengan pihak kerajaan pada tahun lalu membolehkan IWK meneroka potensi pelbagai aktiviti lain.

“Ini termasuk perniagaan bukan tarif seperti mempelopori penghasilan air pulih guna daripada efluen terawat, menjana tenaga boleh baharu dan menghasilkan baja untuk bukan tanaman dari produk sampingan biopepejal.

“Ekoran itu, saya gembira menyaksikan usaha kerjasama antara IWK dengan sebuah syarikat tempatan, EMB untuk meluaskan potensi penggunaan air kumbahan bagi penghasilan produk bio-gas dan bio-alkohol.

“Saya optimis kerjasama ini akan menyumbang kepada kerancakan ekonomi kitaran dan mengurangkan kebergantungan kepada sesuatu sumber sahaja,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara IWK dan EMB di sini pada Isnin.

Hadir sama di Pejabat Operasi IWK Unit Langat di Cyberjaya itu ialah Timbalannya, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan), Dr Ching Thoo Kim.

Majlis MoU ditandatangani IWK dan EMB pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dan Pengarah Urusan EMB Business, Nur Idatun Nissa Mohamad Noor.

“Kerjasama yang terjalin antara IWK dan EMB akan memanfaatkan industri hiliran seperti petrokimia dan sebagai sumber sekunder bagi penghasilan produk-produk mereka yang lain,” katanya.