Pengajaran buat pemain Harimau Muda

Hassan Sazali positif skuad muda negara mampu beraksi cemerlang pada perlawanan menentang Myanmar di Stadium Binh Duong, Vietnam, Selasa ini. - Foto FAM
Hassan Sazali positif skuad muda negara mampu beraksi cemerlang pada perlawanan menentang Myanmar di Stadium Binh Duong, Vietnam, Selasa ini. - Foto FAM
A
A
A

JURULATIH bawah 19 tahun (B-19) negara, Hassan Sazali Waras akur dengan kekalahan 1-2 hasil jaringan minit-minit akhir Vietnam pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien pada Ahad.

Beliau yang menghormati keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah itu melihat anak-anak buahnya kehilangan fokus menuju penghujung perlawanan.

Katanya, pengadil mempunyai pilihan sama ada untuk memberikan sepakan penalti atau sebaliknya.

"Apabila saya tengok semula video perlawanan, ia bukan terjahan keras, cuma nak hadang pemain lawan daripada menguasai bola. Saya positif dan menerima keputusan pengadil.

"Saya tidak melihat pemain dalam keletihan, cuma hilang fokus pada saat-saat akhir. Pada saya keputusan seri adalah lebih baik," katanya.

Pada aksi itu skuad muda negara terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Nazrin Nasir pada minit kelima, namun pasukan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi penyudah Nguyen Duc Anh.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan seri, Vietnam menemui jalan terbaik menembusi gawang Malaysia sekali lagi dalam masa kecederaan apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Khuat Van Khang.

Hassan Sazali memberitahu, beliau positif dengan kesemua pemain dalam skuadnya yang merupakan muka-muka baru bukan daripada skuad Kejohanan AFF B-19 baru-baru.

Katanya, penglibatan mereka adalah sebagai perdedahan dengan perlawanan di peringkat antarabangsa selain mampu mengumpul minit permainan yang penting bagi meningkatkan prestasi mereka.

"Apa yang positif bagi saya ialah para pemain ini menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk merebut tempat ke saingan Kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia bulan depan," katanya.

Malaysia yang hanya mengumpul satu mata setelah seri tanpa jaringan dengan Thailand dalam aksi pertama, Jumaat lalu akan menentang Myanmar di Stadium Binh Duong Selasa ini.

Saingan yang menggunakan format liga sepusingan itu menetapkan dua pasukan mengumpul mata tertinggi akan mara ke final yang dijadual berlangsung Khamis ini.

Berdasarkan perkiraan matematik, Malaysia harus menang ke atas Myanmar sambil mengharapkan Thailand tewas di tangan Vietnam, untuk mengintai peluang ke final sebagai naib juara.