PDRM umum pertukaran 20 pegawai kanan

Bukit Aman.
Bukit Aman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin mengumumkan pertukaran 20 pegawai kanannya berkuat kuasa 12 September ini.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan antaranya ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman Datuk Baharuddin Ahmad yang akan ditukarkan ke jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri pula akan menggantikan Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang bersara wajib awal bulan ini sebagai Ketua Polis Perak.

"Jawatan Mohd Yusri akan digantikan oleh Komander 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ulu Kinta Perak Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

"Selain itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” menurut kenyataan itu.

Noorsiah berkata, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan), Bahagian sama dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

"Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling), Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Ghazali Daud dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” katanya.

Selain itu Noorsiah berkata, Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) PDRM, Urusetia Pejabat KPN Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff pula dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Deputi Komisioner. - Bernama.